Jendela Nusantara

Sabdo Palon & Naya Genggong Nagih Janji

Presiden Singapura Pertama Yusof Ishak - 1.910 M

Yusof Ishak Presiden Singapura Orang Indonesia
Jakarta (PerpustakaanTanahImpian) - Encik Yusof bin Ishak (12 Ogos 1910 - 23 September 1970) adalah Presiden Singapura yang pertama. Beliau dilahirkan di Padang Gajah, Trong, lebih kurang 18 batu dari Taiping, Perak. Bapanya, seorang keturunan Minangkabau, berasal daripada Sumatra Barat dan ibunya dari Langkat. Mereka berhijrah ke Pulau Pinang dan setelah itu ke Perak, Malaysia.

Encik Yusof adalah anak sulung di dalam keluarga yang terdiri daripada 9 orang. Bapanya, Encik Ishak bin Ahmad, merupakan Pemangku Pengarah Perikanan Negeri-Negeri Selat dan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu. Encik Yusof menerima pendidikan awal di sebuah sekolah Melayu di Kuala Kurau, Perak. Dua tahun kemudian, beliau dipindahkan ke Malay School di Taiping dan pada 1921, memulakan pengajian dalam aliran bahasa Inggeris di Sekolah King Edward VII, Taiping.

Pada 1923, bapanya telah ditempatkan ke Singapura. Encik Yusof mengikuti keluarganya dan melanjutkan pelajaran di Victoria Bridge School sehingga Disember 1923.

Pendidikan
Pada 1924 beliau dimasukkan ke sekolah Raffles Institution di mana beliau lulus Sijil Sekolah Cambridge (Cambridge School Certificate) pada 1927 dengan kepujian dan diberi peluang untuk melanjutkan pelajarannya di dalam kelas Queen's Scholarship.

Apabila di sekolah, beliau amat giat dalam arena sukan. Di Raffles Institution beliau aktif dalam sukan hoki, kriket, angkat berat dan tinju. Pada 1933 beliau menjadi juara tinju dalam kelas lightweight. Sebagai kadet cemerlang dalam Kor Kadet Sekolah beliau dinaikkan ke pangkat Lieutenant Kedua, pelajar pertama yang menerima jawatan tersebut di Singapura. Beliau juga merupakan ketua murid dan penyunting bersama majalah sekolah "Rafflesian".

Kerjaya kewartawanan
Setelah meninggalkan sekolah pada 1929, beliau bersama dua rakannya telah menerbitkan majalah bertajuk "Sportsman", sebuah majalah keluaran dua minggu yang memaparkan berita-berita sukan. Pada 1932, beliau menganggotai syarikat 'Warta Malaya', sebuah akhbar Melayu yang terkemuka pada masa itu. Kebolehan kewartawanannya membolehkan beliau naik ke jawatan Pembantu Pengurus dan Pemangku Penyunting dalam masa yang singkat. Pada 1938, beliau meletak jawatan dari 'Warta Malaya' dan bersama beberapa rakan yang lain, telah menubuhkan syarikat 'Utusan Melayu Press Ltd'. Edisi pertama Utusan Melayu dikeluarkan pada Mei 1939 dengan Encik Yusof sebagai pengarah pertama syarikat tersebut.

Sewaktu Pendudukan Jepun (1942-1945) Encik Yusof berada di Malaya. Apabila Jepun menyerah kalah, beliau kembali ke Singapura pada 3 September 1945 dan menyambung semula pencetakan Utusan Melayu.

Pada 1948 Encik Yusof melawat Britain sebagai anggota delagasi First Press Delegation. Pada awal tahun 1957, beliau telah ke Jepun untuk memeriksa alat jentera terkini yang ditempah oleh 'Utusan Melayu'. Pada Mei di tahun yang sama, beliau telah ke Kuala Lumpur untuk menyelia pembinaan Bangunan Utusan. Semasa di Kuala Lumpur, Encik Yusof dilantik sebagai Presiden Press Club of Malaya.

Perlantikan awam
Encik Yusof memegang beberapa jawatan penting dalam pemerintah Singapura. Dari 1948 ke 1950, beliau berkhidmat dalam Jawatankuasa Permohonan Filem (Film Appeal Committee). Beliau telah menjadi anggota Nature Reserves Committee selama setahun dan juga Malayan Organisation Commission. Pada Julai 1959, beliau dilantik sebagai Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Singapura. Pada 3 Julai 1965, Encik Yusof dijadikan Canselor Universiti Nasional Singapura.

Encik Yusof dilantik sebagai Yang di-Pertuan Negara Singapura pada 3 Disember 1959, menjadikan beliau orang tempatan pertama memegang jawatan tersebut. Encik Yusof bersama isterinya Puan Noor Aishah telah melakukan lawatan rasmi yang pertama ke Kemboja pada April 1963. Pada bulan yang sama, beliau bersama isterinya telah ke Mekah untuk melaksanakan ibadah haji di mana mereka disambut sebagai tetamu negara kerajaan Arab Saudi. Sebuah lawatan rasmi juga telah dilakukan ke Ceylon (kini Sri Lanka) pada Mei 1963.

Encik Yusof dianugerahkan Darjah Kerabat Yang Amat Dihormati Kelas Pertama oleh Sultan Brunei pada November 1960 dan Darjah Kebesaran Seri Maharaja Mangku Negara (S.M.N.) oleh Yang di-Pertuan Agong Malaysia pada November, 1963.

Pada 9 Ogos 1965, apabila Singapura berpisah dari Malaysia dan menjadi negara yang berdaulat, Encik Yusof dilantik sebagai Presiden yang pertama Republik Singapura. Beliau dilantik sekali lagi untuk empat tahun dari 4 Disember 1967.

Presiden Yusof Ishak meninggal dunia pada 23 November 1970 di Singapura dan disemadikan di Perkuburan Negara Kranji.

Sumber: http://ms.wikipedia.org/wiki/Yusof_Ishak
10 Desember 2012

Budaya Arab Ternyata Warisan dari Budaya Agama Kristen